RUU pembiayaan tangani COVID-19 diluluskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara semalam meluluskan Rang Undang-undang Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19.

Rang undang-undang yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga. 

Terdahulu seramai 13 Senator mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar.

- Advertisement -

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu Tengku Zafrul memaklumkan sehingga 11 September lepas, sebanyak RM268.2 juta telah dibelanjakan bagi tujuan bayaran elaun khas COVID-19 kepada 832,000 barisan hadapan yang terlibat.

Beliau berkata sejak 21 April lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menambah baik pelaksanaan pembayaran elaun khas tersebut bagi memastikan tiada kelewatan pembayaran dibuat kepada pegawai mereka. 
 
“Ini termasuk memastikan tanggungjawab ketua jabatan untuk memudahkan proses tuntutan elaun khas yang pegawai hanya perlu mengemukakan borang tuntutan sahaja tanpa perlu menyertakan sebarang dokumen tambahan seperti surat arahan dan jadual bertugas,” katanya.

Sejumlah RM45 bilion diperuntukkan di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dengan program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan menerima dana paling tinggi berjumlah RM16.8 bilion.

Ia juga melibatkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional; projek berskala kecil (RM4 bilion); masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan PKS PENJANA selain Geran PRIHATIN PKS (RM1.9 bilion).

Selain itu, sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik; bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta). – BERNAMA

- Advertisement -