Perlekehan satu penghinaan kepada pasukan keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan calon WARISAN, Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 satu sandiwara dan berkepentingan politik adalah penghinaan kepada pasukan keselamatan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan itu amat biadab khususnya kepada keluarga 10 anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

“Seluruh pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui akan kebenaran peristiwa itu dan tidak ada mana-mana pihak mempertikai secara terbuka berkaitan kebenaran peristiwa ini.

- Advertisement -

“Dalam suasana negara baru sahaja menyambut Hari ATM yang ke-87 pada 16 Sept lepas, tuduhan ini mencerminkan betapa beliau tidak memahami serta memandang rendah pengorbanan pasukan keselamatan negara,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri mengingatkan semua pihak agar tidak menyentuh isu sensitif yang boleh membangkitkan kemarahan dan rasa tidak selesa mana-mana pihak khususnya perkara melibatkan keselamatan serta kedaulatan negara.
 
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan ahli politik sebagai tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera.

“Tuduhan anggota ATM yang hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar.

“Selain itu, tuduhan tersebut memperlekeh tugas serta tanggungjawab anggota tentera dan pasukan keselamatan lain dalam mempertahan kedaulatan negara ketika itu,” menurutnya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata kenyataan itu tidak boleh diterima sama sekali dan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik di pihak ATM mahu pun PDRM.

Katanya ATM yang kini berusia 87 tahun pada 16 September lepas telah menyaksikan banyak pertumpahan darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurah demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Malaysia pada hari ini sentiasa terpelihara.
 
“Adalah diingatkan agar rakyat Malaysia tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.

“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.

Affendi berkata keupayaan ATM pada masa ini bukan sekadar berupaya mempertahan kedaulatan negara malah menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara. – BERNAMA

- Advertisement -