Perkasa DHPP bukti PAS tidak rasis

- Advertisement -

TAIPING: PAS sentiasa terbuka menerima keahlian Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) sebagai tenaga utama penggerak parti untuk menjaga kebajikan masyarakat bukan-Islam.

- Advertisement -

Penubuhan DHPP adalah selari dengan kehendak masyarakat bukan Islam yang telah menyatakan sokongan dan dokongan untuk membantu perjuangan PAS menegakkan nilai Islam di Malaysia.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berucap demikian merasmikan pembukaan Pejabat DHPP Kawasan Taiping di sini, kelmarin.

“PAS sudah lama terbuka (untuk) menerima masyarakat bukan-Islam dengan cara sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana (ajaran) Islam tidak pernah mengenepikan mereka yang tidak menganuti Islam.

“Masyarakat bukan-Islam di sini telah pun melihat gerakan kita selari dengan kebajikan dan keperluan semasa mereka, maka, (kerana itu) mereka menyatakan hasrat menyertai PAS,” ujar beliau.

Ahli Mesyuarat Kerajaan Perak itu turut menyatakan bahawa pengukuhan DHPP Taiping itu adalah antara bukti PAS tidak rasis.

Malah katanya, menjadi jambatan penghubung bagi mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira ras bangsa dan kepercayaan agama.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa, PAS merupakan satu-satunya parti pemerintah di Perak yang mempunyai keahlian daripada masyarakat bukan-Melayu seperti bangsa Cina dan India melalui DHPP.

Terdahulu, Pengerusi DHPP Taiping, Magesh Subramaniam berkata, pihaknya telah berjaya mengumpulkan 250 borang keahlian baharu penyertaan DHPP di dalam Parlimen Taiping sekali gus membuktikan DHPP Perak semakin diterima ramai.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang DiPertua dan Timbalan serta Naib Yang DiPertua PAS Taiping, Ustaz Saidin Md Hasnam dan Ibrahim Ismail serta Ustaz Mohamad Fakhruddin Abdul Aziz. – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -