Penyelidik UTeM rangkul 15 pingat di EREKA

ALOR GAJAH: Kumpulan penyelidik yang juga pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya merangkul 15 pingat pada Ekspo Maya Reka Cipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA) 2020, anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata, pada program yang berlangsung secara maya ekoran penularan pandemik COVID-19 itu, UTeM menerima tujuh pingat emas dan tujuh pingat perak serta satu pingat gangsa.

“UTeM berjaya merangkul pingat bagi kesemua 15 kategori yang dipertandingkan pada EREKA 2020, dan pencapaian ini amat membanggakan seluruh warga UTeM.

Advertisement

“Pada pertandingan itu, UTeM memberi fokus kepada kumpulan produk inovasi yang memberi impak kepada masyarakat serta komuniti dunia, selaras dengan konsep TUNAI iaitu ‘Technology at University Advancing Industry and Community’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata konsep penyertaan UTeM juga mengetengahkan produk, yang dapat melonjakkan keupayaan penyelidikan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi nasional.
 
Katanya tujuh pingat emas yang dimenangi ialah menerusi produk inovasi ‘3-Dimensional 4h-Sic Mosfet’ (Finfet), ‘Hybrid Vertically Take-Off and Landing Unmanned Aerial Vehicle’ (Hybrid VTOL UAV), ‘Fishing Bait Launcher’, ‘Advanced Vacuum Clamping System With Enhanced Safety Features’, ‘Motorcycle-To-Motorcycle Towing’, ‘Progressive Drill Reamer’ dan ‘Roundabout Sensor Detection System’.

Raha berkata tujuh pingat perak yang dimenangi pula menerusi produk inovasi ‘Organic Intelligent Candle’ (OIC), ‘Organic Plastic Alternatives’ (OPA), ‘Portable Mechanical Lifting Equipment’, ‘Real Time Rubber Strain Gauge with Ambient of Mobile Monitoring System’, ‘Recorded Heating Oil Bath System’, ‘Semi-Automatic Drain Cleaner Machine’ dan ‘TUAH Parcel Drop Box’.

Beliau berkata bagi pingat gangsa pula, ia dimenangi menerusi produk inovasi ‘3D Printed Bearing With Internal Geometry’.BERNAMA