Pemimpin WARISAN dakwa insiden Lahad Datu ‘sandiwara’

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Presiden Parti Cinta Sabah Datuk Seri Anifah Aman kecewa dengan kenyataan seorang pemimpin WARISAN yang mendakwa insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan 10 anggota keselamatan sebagai ‘sandiwara’.

Bekas Menteri Luar itu berkata kenyataan berkenaan tidak sepatutnya dibuat calon WARISAN tersebut kerana ia satu penghinaan terhadap anggota keselamatan negara yang sanggup menggadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

“Sepanjang peristiwa pertempuran Lahad Datu, di Tanduo 2013, seramai 235 pengganas telah mendarat di bumi Sabah dari Pulau Simunul, Filipina. Sepuluh orang anggota keselamatan Malaysia telah terkorban dalam pertempuran tersebut termasuk dalam beberapa serangan hendap. 

- Advertisement -

“Pemimpin WARISAN ini telah menyifatkan pengorbanan mereka sebagai ‘sandiwara’,” kata Anifah dalam kenyataan semalam yang mengulas kandungan video ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah calon berkenaan yang tular di media sosial.

Dalam video berdurasi kira-kira 30 minit berkenaan, calon WARISAN itu ketika berceramah mendakwa pertempuran di Tanduo berkenaan sebagai ‘sandiwara’.

Menurut Anifah kenyataan calon WARISAN berkenaan boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada Sabah serta melukakan hati keluarga dan rakan-rakan seperjuangan anggota keselamatan.

“Di manakah rasa hormat pemimpin WARISAN ini kepada anggota keselamatan Malaysia yang telah terkorban semasa mempertahankan kedaulatan bumi Sabah?,” soal Anifah dan menambah WARISAN sepatutnya merasa malu kerana membuat kenyataan seperti itu. – BERNAMA

- Advertisement -