MOSTI kerjasama bantu pembangunan vaksin Covid-19

Foto Facebook Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia bekerjasama dengan China, Thailand, Rusia, Cuba dan Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) dalam usaha membangunkan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ahmad Amzad Hashim berkata, antaranya satu persidangan atas talian antara Malaysia, China dan SINOVAC Biotech Ltd dan Sinopharm telah diadakan untuk menyatakan hasrat itu.

- Advertisement -

“Memandangkan jangkitan Covid-19 Malaysia semakin berkurangan, kedua-dua syarikat tersebut kurang berminat melaksanakan Ujian Klinikal Fasa 3 di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Senator Dato’ Razali Idris dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Tindakan susulan daripada mesyuarat tersebut katanya, Malaysia akan mengadakan perjanjian (MoA) bersama pihak berkenaan agar Malaysia menjadi negara terawal mendapat bekalan vaksin Covid-19 selepas diluluskan.

Selain itu katanya, perbincangan turut diadakan bersama National Vaccine Institute (NVI) Thailand dalam usaha membangunkan vaksin.

Beliau turut menjelaskan kolaborasi antarabangsa dalam usaha Malaysia mendapatkan vaksin Covid-19 dengan tindakan MOSTI melalui National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM) menandatangani Letter of Intent (LOI) dengan Kedutaan Rusia di Malaysia.

Terbaharu, Russian Direct Investment Fund (RDIF) telah memperoleh hak eksklusif sebagai pembekal vaksin Sputnik V ke seluruh dunia.

Ujian Klinikal fasa 3 Sputnik V dijangka melibatkan seramai 40,000 peserta di seluruh dunia dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kedutaan Rusia dalam masa terdekat.

Jelasnya lagi, MOSTI mengambil inisiatif untuk terlibat dalam CEPI bagi membolehkan Malaysia mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu kepada penyelidik tempatan. – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -