Lahad Datu ‘sandiwara’: Veteran ATM tersinggung

KUALA LUMPUR: Kenyataan calon WARISAN, Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 adalah sandiwara, mengguris dan menyinggung perasaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berkhidmat semasa insiden itu berlaku.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dalam kenyataan berkata semasa mempertahankan kedaulatan bumi Lahad Datu dalam insiden itu, seorang daripada 10 anggota keselamatan yang terkorban adalah anggota ATM dan mustahil anggota yang terkorban ini bersandiwara dalam mendepani ancaman terbabit.

“Semangat patriotisme dan sayangkan negara yang dipamerkan oleh veteran-veteran ATM selama ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh ahli politik hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan masyarakat di Sabah.

Advertisement

“Ia harus diinsafi bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan yang berterusan veteran-veteran ATM dan anggota keselamatan yang lain,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
 
JHEV ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan rasa marah dan menyinggung perasaan yang seterusnya menimbulkan suasana tidak harmoni yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Bagaimanapun, Mohamaddin pada petang tadi telah memohon maaf akan kenyataannya itu yang menurutnya disalahertikan oleh pelbagai pihak.   

Hari ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata tuduhan berkenaan merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan khususnya kepada 10 keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa berkenaan.

Berikutan itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata kenyataan yang dikeluarkan ahli politik berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera. – BERNAMA