K’jaan Kedah tidak pernah keluar lesen balak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen pembalakan termasuk di kawasan hutan berhampiran Empangan Ahning, Padang Terap.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mengikut rekod Jabatan Perhutanan negeri, pembalakan di kawasan itu telah diberikan lesen membalak pada tahun lepas untuk tempoh berkuat kuasa antara 25 Februari hingga 25 Ogos lalu iaitu lesen yang disambung semula disebabkan kerja pengusahahasilan belum selesai.

“Jabatan Perhutanan mengeluarkan lesen membalak untuk dikeluarkan semua hasil sebelum tanah itu diluluskan hak milik kepada syarikat Tradewinds (keputusan untuk memberi hak milik tanah kepada syarikat berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah dan Hasil Bumi pada 1 Ogos 2017),” menurut kenyataan itu.

- Advertisement -

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan hantaran mengenai dua imej satelit yang memaparkan keadaan hutan yang didakwa berhampiran empangan tersebut oleh seorang individu menerusi Facebook, semalam.

Menurut Pejabat Menteri Besar Kedah, terdapat usaha untuk memberi persepsi buruk terhadap kerajaan Kedah pimpinan Muhammad Sanusi menerusi hantaran yang dibuat individu menggunakan nama ‘Sabrina Syed’ itu.

“Dua imej satelit hutan berhampiran Empangan Ahning tersebar menerusi pelbagai platform internet, seolah-olah kerajaan negeri hari ini yang membenarkan pembalakan di kawasan berkenaan pada Julai dan Ogos lalu,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -