Isu sekolah vernakular perlu diselesai berperingkat

- Advertisement -

PEMUDA PAS Perak mengambil maklum mengenai sebuah Wacana Pendidikan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan peringkat Negeri Perak yang diadakan pada pagi semalam. Wacana yang membicarakan topik panas ini dianjurkan oleh pihak kerajaan. Tahniah kami ucapkan atas keberanian dan terkehadapan dalam perkara ini.

Dewan Pemuda PAS Perak (DPPN Perak) melihat perkara ini adalah isu penting yang sentiasa perlu diwacanakan. Silang idea dan buah fikiran melibatkan isu ini mesti berterusan tanpa kesampingkan tujuan utama pendidikan iaitu mencapai integrasi dan identiti nasional.

DPPN Perak mengambil maklum mengenai satu syor yang dibuatkan oleh seorang ahli akademik dalam wacana yang menyatakan bahawa sudah tiba masanya riwayat sekolah vernakular ditamatkan. DPPN Perak sentiasa mengharapkan agar bagaimana sekalipun kaedah dan cara yang diambil, tujuan identiti nasional tidak boleh dipandang sepi.

- Advertisement -

Dalam wacana ini, isu identiti nasional yang dikenalpasti adalah kefasihan munasabah dalam berbahasa Kebangsaan oleh kaum bukan-Melayu, dan integrasi kefahaman budaya antara kaum di Malaysia. Pemuda PAS Perak melihat bahawa pembaikan terhadap isu ini perlu diberi tumpuan agar sesuai dengan hasrat pendidikan negara. 

Bagi DPPN Perak, isu yang sudah berlarutan puluhan tahun ini telah mengakar lama dalam jiwa-jiwa anak bangsa yang jelas memerlukan langkah secara berperingkat untuk diselesaikan. Kes pemfailan saman mengenai keabsahan sekolah jenis Kebangsaan di mahkamah kemungkinan besar menjadi penghujung jalan dalam perkara ini. 

Namun sebelum bertemu di hujung jalan yang tidak diketahui kunjung tibanya, penyelesaian tuntas sangat diperlukan segera. DPPN Perak ingin mempertegaskan tiga pendirian kami berkaitan isu sekolah vernakular iaitu:

Pertama, kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan tidak perlu menambah lagi sekolah vernakular baru. Kekalkan apa yang telah tersedia.

Kedua, sekolah-sekolah vernakular sedia ada boleh diteruskan seperti biasa, tetapi mestilah selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan mengutamakan kemenjadian murid. 

Ketiga, perkenalkan subjek elektif Bahasa Mandarin dan Tamil seawal pendidikan sekolah rendah Kebangsaan agar silang budaya berlaku. 

Bagi inisiatif jangka masa terdekat, kami juga mencadangkan agar diwujudkan suatu bentuk pengiktirafan seperti Sekolah Perpaduan kepada mana-mana SJKC/SJKT yang layak dan juga disuntik dana khas kepada sekolah terbabit sebagai bentuk penghargaan.

Kesimpulannya, Pemuda PAS Perak mengharapkan agar polemik ini segera reda dan menyerahkan kepada para ahli akademik dan badan berautoriti untuk diselesaikan tanpa campur baur dengan sentimen dan emosi tidak berasas. 

AHMAD FAISAL MOHD PUAIT
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Sesi 2019/2021 – HARAKAHDAILY 22/9/2020

- Advertisement -