Hotel milik TH, Movenpick KLIA menang anugerah

KUALA LUMPUR: Hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH), Mövenpick Hotel & Convention Center (MHCC) KLIA menerima dua pengiktirafan iaitu hartanah mesra alam dan penginapan mesra Muslim baru-baru ini.

Pengurus Besar Pelaburan Strategik TH Muhammad Fawwaz Aminuddin dalam satu kenyataan semalam berkata hasil seni bina arkitek terkemuka dunia Hijjas Kasturi, MHCC memenangi kategori Platinum dalam pensijilan Pengiktirafan Penginapan Pelancongan Mesra-Muslim (MFAR) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) pada 3 September. 

“Anugerah Platinum MFAR mengiktiraf MHCC sebagai hotel yang berkonsepkan ‘mesra-Muslim’ dengan kelengkapan dan fasiliti patuh syariah selain menjadi tarikan pelancong mesra-Muslim, mempunyai restoran-restoran halal berserta cef-cef yang diiktiraf dan menawarkan maklumat tentang lokasi-lokasi masjid.

Advertisement

Selain itu, hotel ini turut menawarkan kolam renang berasingan bagi keluarga dan satu lagi bagi wanita, kemudahan gimnasium dan spa berasingan, petunjuk arah kiblat yang jelas dan tepat, serta menyediakan bidet, sejadah dan al-Quran di setiap bilik penginapan,” katanya.

Selain itu, pada 15 September, MHCC juga dinobatkan sebagai Bangunan Komersial Hijau Baharu Terbaik oleh Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC).
 
Katanya penghargaan daripada MGBC itu mengiktiraf bangunan milik TH sebagai bangunan perintis ke arah ‘bangunan hijau’ selain menawarkan aspek kelestarian. 

“Sebagai contoh, reka bentuk bangunan hotel telah dirancang untuk mendorong penggunaan cahaya siang tersebar ke dalam bangunan, selain itu juga, laluan pejalan kaki dan Anjung Tinjau yang membenarkan aliran udara semula jadi untuk mengurangkan penggunaan penyaman udara. 

Pengurusan sisa yang baik seperti mesin kompos digunakan untuk memproses sisa organik seperti sisa makanan kepada baja organik, selain bangunan hotel turut mengamalkan amalan hijau dan mengikut kriteria Indeks Bangunan Hijau bagi mencapai penarafan Perak serta menerapkan elemen Masyarakat Rendah Karbon dalam setiap program dan perancangan pembangunan,” katanya.

Di samping itu katanya, MHCC juga digunakan sejak 2018 sebagai kompleks haji dan stesen berlepas jemaah haji tanah air dan kedudukannya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memberi nilai tambah kepada pengunjung hotel sekali gus meningkatkan lagi faktor kemudahan pengangkutan.

Muhammad Fawwaz berkata kemenangan hotel ikonik itu jelas membuktikan tahap reka bentuknya bukan sahaja unik tetapi berdasarkan kelestarian tinggi, serta pencapaian perkhidmatan yang menyerlahkan kedudukan MHCC di dalam industri perhotelan negara. – BERNAMA