Bila perlu makan ubat cacing?

UBAT cacing kena makan setiap 6 bulan ke? Kita kan sudah menuju negara maju, bukannya negara ketiga yang kehidupan rakyatnya daif dan tidak ada sistem pembetungan sisa najis yang baik?

Ya itulah persoalan yang sering bermain di fikiran ibu bapa yang muda belia masa sekarang. Sesetengah mereka agak liat dan terlalu sayangkan duit untuk melabur demi kesihatan anak-anak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan anak-anak yang berumur kurang dari 14 tahun harus diberi ubat cacing setiap 6 bulan sekali. Dengan mengambil pertimbangan bahawa sesebuah negara itu:

Advertisement

(1) Masih mundur;

(2) Tiada sistem pembetungan atau pembuangan najis yang sempurna;

(3) Kanak-kanak dibiarkan bebas bermain di lapangan tanpa alas kaki atau permainan yang melibatkan tanah;

(4) Penyediaan makanan dan air yang tidak diuruskan dengan sistem yang sempurna.

Jika bimbang dengan beberapa pertimbangan di atas tidak dapat dipenuhi, makanlah ubat cacing tersebut. Perkara ini perlu dibincang lanjut bersama doktor yang merawat. 

Beberapa kajian mendapati jumlah penghidap kecacingan (prevalens) sesatu masyarakat boleh menentukan sama ada kekerapan memakan ubat cacing. Jika prevalens melebihi 50 peratus, maka sayugia anak-anak di kawasan tersebut diberikan ubat cacing setiap 6 bulan sekali. Jika prevalens sedikit, ianya bergantung kepada penilaian doktor atas setiap anak. 

Formula umumnya adalah:

(1) Anak-anak di kawasan kampung pedalaman (biasanya orang Asal) – diberi setiap 6 bulan.

(2) Anak-anak di kawasan pedalaman yang terdapat akses kesihatan dan sistem sanitasi minima, boleh diberikan ubat cacing setiap tahun.

(3) Anak-anak orang bandar atau kawasan yang sudah maju dari sudut frasarana – ubat cacing diberikan sekali pada umur 2 hingga 5 tahun; sekali di umur 5 hingga 10 dan sekali lagi di umur 10 tahun ke atas. Anak-anak berumur kurang 2 tahun perlu dinilai oleh doktor.

Tetapi penentuan dan penilaian ini wajib dilakukan oleh doktor.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 22/9/2020