UniMAP utamakan kebajikan pelajar

- Advertisement -

PADANG BESAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa memastikan kebajikan pelajar menjadi keutamaan pihak pengurusan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, usaha itu termasuk skim bantuan zakat, penempatan kolej kediaman percuma, tabung amanah khas dan program foodbank.

- Advertisement -

Katanya, langkah tersebut sesuai dengan tema Malaysia Prihatin sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan tahun ini.

“Pelajar yang memerlukan bantuan kewangan juga berpeluang melakukan kerja sambilan dan dibayar gaji serta berpeluang menjadi usahawan menerusi platform hire.me UniMAP.

“Malah tahun ini UniMAP memperuntukkan sebanyak RM500,000 wang zakat untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan dengan sasaran lebih 1,200 pelajar,” katanya ketika berucap di majlis penutup program Kayuhan Hari Malaysia 2020 di sini, semalam.

Turut berkenan hadir mencemar duli, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Raja Dato’ Azwane Raja Ariff, Penasihat Undang-undang Negeri Perlis Radhi Abas dan Pengerusi PISKANITA UniMAP, Fatimah Danial.

Seramai 300 peserta menyertai cabaran Kayuhan Hari Malaysia 2020 bagi menyemarakkan lagi semangat Sambutan Hari Malaysia.

R Badlishah juga berkata, program kayuhan terbabit bukan sekadar mengayuh basikal semata-mata, sebaliknya turut diselitkan program tanggungjawab sosial universiti. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -