TMJ dilantik ketuai aktiviti belia di Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik anakandanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri ini.

Advertisement

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu adalah kerana baginda yakin bahawa anakandanya mampu menjana pembangunan belia dan memimpin golongan berkenaan ke arah mercu kejayaan.

Keyakinan itu bersandarkan kepada ketabahan dan pengalaman luas Tunku Ismail dalam hal ehwal pentadbiran termasuk mengurus tadbir pasukan Johor Darul Ta’zim sehingga berjaya mengharumkan Johor di persada antarabangsa.

“Tuanku yakin dan percaya dengan kepimpinan Tunku Mahkota (Tunku Ismail) dan dengan kerjasama kerajaan negeri terhadap penyediaan infrastruktur dan lain-lain kemudahan serta sokongan padu kaum, belia Bangsa Johor akan berjaya memperkasakan jati diri bagi mencapai sasaran yang lebih cemerlang pada masa depan,” kata beliau dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kelmarin.

Menurutnya Sultan Johor amat prihatin terhadap pembangunan belia di negeri ini kerana merasakan golongan terbabit merupakan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri yang lebih holistik, selaras dengan aspirasi dan kehendak bangsa Johor.

Sementara itu, dalam kenyataan balas berhubung pelantikan itu, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) Md Salleheen Mohamad percaya bahawa dengan pimpinan Tunku Ismail golongan belia negeri ini lebih terbela dan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan, terutama dalam memperkasakan agenda pembangunan belia dan gerakan kesukarelawan. – BERNAMA