TKPM galak projek pertanian skala besar

TANAH MERAH: Pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing 2 dikaji semula kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.

Ujarnya, TKPM dibuat bagi menggalakkan projek pertanian skala besar, komersial dan berteknologi tinggi.

Advertisement

“Saya cuba mendapatkan maklumat mengenai status TKPM Lojing 2 yang mana dahulu ada beberapa masalah yang melibatkan tanah.

“Antara yang paling besar ialah infra jalan masuk yang terpaksa melalui tanah milik Orang Asli, jadi ini mungkin antara sebab,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang Serunding Samblado di Bukit Panau di sini semalam.

TKPM Lojing 2 terletak 107 kilometer (KM) dari Gua Musang, 19 km dari Blue Valley dan 50 km dari Tanah Rata di Cameron Highlands.

Ia berada pada ketinggian 2,500 hingga 3,200 kaki dari aras laut dengan suhu antara 18 hingga 27 darjah celsius yang sesuai untuk pertanian.

TKPM bermula pada 2000 merupakan strategi kerajaan di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga bagi menggalakkan pertanian skala besar.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berharap supaya TKPM Lojing 2 dapat dibangunkan seperti TKPM Lojing 1 yang kini sudah berjaya. – HARAKAHDAILY 21/9/2020