Tips kewangan anak muda

JIKA anda berumur bawah 30 tahun, tips yang akan dibincangkan adalah bersesuaian dengan perkongsian hari ini.

Biasanya usia sebelum 30 tahun ini adalah masa yang sangat penting untuk menentukan siapa kita 10 atau 20 tahun akan datang.

Biasanya umur bawah 30 tahun ini juga merujuk kepada pekerja ‘Fresh Graduate’ dan berjiwa muda serta belum mempunyai ilmu pengurusan kewangan yang mantap.

Usia emas ini sepatutnya digunakan sebaiknya oleh anak muda kerana pada waktu ini biasanya kita masih lagi mempunyai komitmen yang rendah dan belum mempunyai sebarang aset mahupun liabiliti.

Advertisement

Jadi hari ini saya ingin berkongsi berkaitan pengurusan kewangan berdasarkan pengalaman sendiri:

(1) Beli barang secara tunai.

Hari ini, sangat banyak program atau pelan yang menyasarkan golongan bekerja untuk cenderung berhutang setiap bulan.

Sebagai contohnya pelan pembelian telefon bimbit yang membolehkan pelanggan untuk membayar secara bulanan pelan telefon bimbit dan data secara sekali gus.

Sedar ataupun tidak, rupanya kebiasaan ini sebenarnya membataskan kemampuan kewangan kita kerana ianya telah menambahkan komitmen bulanan sedangkan kita boleh memilih untuk memilikinya secara tunai tanpa terikat dengan mana-mana kontrak.

(2) Memasak sendiri.

Ubah mindset kita daripada yang malas kepada sedikit rajin untuk memasak sendiri di rumah supaya tidak cenderung makan di luar.

Biasanya bila kita makan di luar, semua makanan yang kita tempah akan dikenakan bayaran hatta air kosong pun dibayar.

(3) Beli pakaian mengikut keperluan.

Elakkan terpengaruh dengan budaya membeli pakaian ‘branded’ atau berjenama kerana harga biasanya sangat tinggi.

(4) Beli kenderaan sesuai keperluan.

Mengikut kajian, 70 peratus kadar muflis di Malaysia adalah disebabkan hutang kereta dan biasanya melibatkan orang muda.

Sebaiknya belilah dulu kereta terpakai secara tunai supaya kemampuan kewangan kita semakin baik.

(5) Elakkan melanggan kad kredit.

Jika tiada keperluan untuk melanggan kad kredit, janganlah cuba-cuba untuk memilikinya kerana ianya disebut sebagai ‘Along Moden’.

Jika tidak diurus dengan baik, maka buruk padahnya.

(6) Jangan berhutang.

Jika tiada keperluan selagi kita mampu berurusan secara tunai adalah lebih baik kerana ada yang disebut sebagai hutang baik dan hutang jahat.

Sekiranya kita silap memilih maka kemampuan kewangan kita akan terjejas dan akhirnya boleh menyebabkan tekanan.

Semua nasihat di atas sebenarnya atas pengalaman diri sendiri.

Walaupun kesedaran dan ilmu itu hadir sedikit lewat, tetapi jangan pernah rasa terlambat kerana lambat bertindak itu lebih baik berbanding langsung tidak bertindak.

Nasihat ini dikongsi dengan harapan sahabat-sahabat akan lebih cakna dengan keperluan menguruskan kewangan secara bijak supaya masa depan kita akan lebih terjamin.

Insya-Allah.

Disclaimer: Tips ini tidak sesuai bagi mereka yang mempunyai duit berkepul.

ZAHIRUDDIN JUATIN
INFAQ Consultancy
Ranau, Sabah – HARAKAHDAILY 21/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.