Penyelewengan hala tuju Islamis

KITA perlu faham bahawasanya zaman kini adalah zaman pertarungan pemikiran. Kebarangkalian sesuatu yang salah itu biasanya tidak dizahirkan secara nyata. Bahkan ia dilitupi dan disalut dengan sesuatu yang nampak benar agar mampu diterima umat. 

Dalam mendepani semasa, Islamis perlu kepada gagasan ilmu, tindakan yang cermat serta buah fikiran yang realistik. Bukan hanya termakan dengan tindakan semberono dan simplistik mencipta kesimpulan. Apalagi apabila melibatkan strategi gerakan Islam yang melengkapi sudut dakwah, tarbiyah dan siasah.

Pasca 9/11

Peristiwa 9/11 merupakan satu tragedi yang perlu dikenang seantero umat Islam. Ketika ini, dasar-dasar baru berbentuk propaganda banyak dikempenkan ke atas Dunia Islam.

Advertisement

Antaranya, muncul istilah Post Islamisme sekali gus pendekatan Pop Islamisme. Kedua-dua ini bertunjangkan di atas kaki yang sama iaitu mengutamakan sokongan manusia secara pragmatik. 

Lantas sedikit demi sedikit melonggarkan prinsip politik negara Islam khususnya yang bersifat demokrasi. Dalam erti kata yang lain, ia sebenarnya teknik mensabotaj Islamis secara halus.

Identiti dan prinsip

Satu perkara utama yang perlu dijaga umat Islam ialah pengekalan identiti dan prinsip. Budaya yang popular kini dilihat menjadi satu tarikan untuk dijadikan sebagai instrumen dakwah dan kempen politik oleh Islamis. Pendekatan ‘dakwah millenial’ dan aktiviti kebajikan diolah fleksibel kononnya mengikut perubahan arus perdana.

Jelas, Islamis dicandu budaya Hedonisme yang menenggelamkan nilai ilmu. Fokus membina strategi hanya berkisarkan aktivisme dan menolak intelektualisme. Pemahaman isu-isu yang berlaku pula ditentukan sekitar soal ‘halal atau haram’, ‘salah atau betul’ sahaja sehingga mengenepikan sisi-sisi yang lebih halus seperti kesesuaian, etika dan sebagainya. Hasilnya, kita dibodohkan tanpa sedar. Islamis hanya mampu menjadi pengguna pasif produk budaya tetapi tidak mampu membawa kritik membina.

Menggugurkan prinsip dan jati diri mengakibatkan kredibiliti gerakan Islam kian rosak. Kesan yang lebih parah, umat semakin menjauh.

Implikasi Barat

Barangkali kita harus mencermati cara Barat berstrategi. Operasi yang dilancarkan kepada Dunia Islam terselit nilai objektif yang hendak dibawa.

Sebagai contoh, siaran-siaran kartun yang ditayangkan mengandungi elemen orientalis. Filem-filem yang diterbitkan memasarkan kempen Islamofobia. Malah, lagu-lagu yang dicipta membawa pengaruh Liberal. Mereka menyalurkan nilai-nilai dakyah secara halus dan ia terbukti berkesan. Malang sekali, pembawaan dakwah Islamis hanya menekankan konsep komersial kosong tanpa kandungan yang berobjektif.

Konsep dakwah

Apabila berkecimpung dalam dakwah, ia mesti terkait dengan kandungan ilmu. Menyampaikan kebaikan berteraskan ilmu. Mengajak ke arah kebenaran berpaksikan ilmu.

Berdakwah bukan menyeru kepada keizzahan organisasi. Tidak juga kepada batang tubuh peribadi. Tetapi dakwah ialah menyampaikan kebenaran mengikut lakar neraca ketetapan Allah Taala. Agendanya, mencerahkan dan mencelikkan mad’u ke arah Islam. Jika sekadar ‘menyeronokkan’ mad’u itu yang menjadi penilaian utama, maka apa sebenarnya yang kita bawa?

ﻋﻦ ﺣﺬﻳﻔﺔ ﻗﺎﻝ: ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ اﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ اﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ: ” ﻻ ﺗﻜﻮﻧﻮا ﺇﻣﻌﺔ، ﺗﻘﻮﻟﻮﻥ: ﺇﻥ ﺃﺣﺴﻦ اﻟﻨﺎﺱ ﺃﺣﺴﻨﺎ، ﻭﺇﻥ ﻇﻠﻤﻮا ﻇﻠﻤﻨﺎ، ﻭﻟﻜﻦ ﻭﻃﻨﻮا ﺃﻧﻔﺴﻜﻢ، ﺇﻥ ﺃﺣﺴﻦ اﻟﻨﺎﺱ ﺃﻥ ﺗﺤﺴﻨﻮا، ﻭﺇﻥ ﺃﺳﺎءﻭا ﻓﻼ ﺗﻈﻠﻤﻮا “

“Dari Hudzaifah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Janganlah kalian menjadi orang tidak berpendirian, yang mengatakan ‘jika orang-orang berbuat baik, kami juga berbuat baik. Jika mereka berbuat zalim, kami juga berbuat zalim. Tetapi kuatkanlah pendirian kalian. Jika orang-orang berbuat baik, berbuat baiklah. Jika mereka berbuat zalim, jangan kalian berbuat zalim.”

Lalu, kita yang bagaimana?

NAJWA ZAKARIA – HARAKAHDAILY 21/9/2020

PENAFIAN:
NAJWA ZAKARIAHarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.