SAYA ingin mengulas sedikit kenyataan YB Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengenai penuaian air hujan (rain water harvesting). Sebagai Timbalan Menteri MOSTI, saya menyambut baik cadangan ini, khususnya dalam melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint.
Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan. Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park.
Sementara itu, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) semenjak tahun 2008 lagi.
Universiti-universiti tempatan seperti UTM dan UPM juga telah banyak menjalankan kajian bagaimana untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan untuk kegunaan domestik, industri dan pertanian memandangkan ia antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam generasi akan datang.
Dalam menempuh cabaran mendatang, kita sebagai rakyat Malaysia hedaklah sentiasa kehadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian. Secara langsung, ini dapat membawa minda kita keluar daripada pemikiran zaman batu dan kepompong pemikiran yang jumud.
Saya menyokong penuh cadangan YBM KASA mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan pengukuhan pelaksanaan dalam negara menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia.
YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 20/9/2020
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!