SETIU: Peluang pekerjaan dalam bidang sawit, terutama pekerja yang menguruskan buah sawit.
Pentingnya warga tempatan diberikan peluang untuk berada di ladang menggantikan warga asing seiring dengan polisi terkini kerajaan yang tidak akan membuka lagi kemasukkan warga asing sepanjang tempoh PKP. Berkemungkinan polisi tersebut dikekalkan untuk tempoh itu.
Perkara tersebut dijelaskan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika turun sendiri bersama peladang di Ladang Sawit TDM Plantation, Sungai Tong, pagi tadi.
“Kementerian telah menggerakkan untuk berkempen besar-besaran.
“Telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan TDM, bahawa kekurangan tenaga kerja hampir 40 peratus.
“Peluang pekerjaan di ladang masih lagi dalam tahap menguntungkan sekitar RM2000 hingga RM3000 sebulan disediakan bersama tempat tinggal dan fasiliti terbaik kepada pekerja,” ujarnya.
Katanya, anak-anak muda tempatan masih ramai berkerja di pelbagai sektor yang berat tetapi tidak setimpal dengan pendapatan diperolehi anggaran sekitar RM1500 hingga RM2000.
Beliau menyatakan mengapa tidak beralih ke bidang perladangan bahkan pihak kementerian sedang berbincang dengan JKOA untuk menarik anak-anak muda orang asal.
Mohd Khairuddin yakin sekiranya ruang pekerjaan ini dapat diperkembangkan pasti hasil ladang yang diperolehi semakin tinggi.
“Walaupun TDM kekurangan 40 peratus tenaga kerja tapi masih mampu menghasilkan 7000 tan sebulan moga jika meningkat tenaga kerja tidak mustahil penghasilan akan bertambah sehingga 10,000 tan.
” Di peringkat nasional, 35,000 lagi peluang pekerjaan dalam bidang sawit dan kita akan terus berkempen semaksimanya.
“Tagline yang saya gunakan Sawit Anugerah Tuhan kerana sememangnya sawit adalah kurniaan tuhan merangkumi kelebihan serta khasiat dari segala aspek dari sawit itu sendiri.
“Tidak menafikan ciptaan lain bahkan menghargai segala kurniaan Allah SWT kepada manusia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/9/2020