K’jaan Terengganu bantu pesawah terjejas akibat ribut

- Advertisement -

JERTEH: Seramai 160 pesawah boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri berjanji untuk menghulurkan bantuan setelah sawah padi mereka dilanda ribut.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya kini sedang giat mengumpulkan data lengkap kerosakan yang berlaku, Khamis lepas.

Katanya, setakat ini kawasan sawah yang terlibat ialah seluas 97.2 hektar, melibatkan daerah Besut dan Setiu.

- Advertisement -

“Ia membabitkan kawasan seluas 82.2 hektar sawah padi  di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) dan selebihnya terletak di luar kawasan jelapang tersebut.

“Kerugian keseluruhan setakat ini dianggarkan berjumlah RM567,000 yang dikira berdasarkan potensi hasil dan harga pasaran semasa bagi satu tan hasil padi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tanaman padi yang terjejas di kawasan padi di Gong Terlikung dan Denger, di sini semalam.
 
Dr Azman yang juga ADUN Jabi berkata bantuan sewajarnya akan disalurkan menerusi Tabung Bencara Pertanian negeri dan pihaknya juga akan turut menghantar laporan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mendapatkan bantuan Kerajaan Pusat.

Sementara itu, seorang petani, Ab Halim Zakaria, 41, berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM12,000 musim ini apabila sawah padi seluas dua hektar di Kampung Denger yang diusahakannya rosak dilanda ribut pada 3.30 petang, Khamis lepas.

“Padi yang saya tanam sepatutnya dah boleh dituai dalam tempoh 10 hari lagi namun ia tidak menjadi kenyataan apabila musnah dipukul ribut,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -