Kisah hijrah menjadi acuan untuk lakukan perubahan

- Advertisement -

KUALA NERUS: Kekuatan kombinasi kaum Ansar yang menyayangi orang kaum Muhajirin kerana iman dan agama membentuk sebuah masyarakat terbaik.

Melalui sirah peristiwa Hijraturrasul dapat melihat kejayaan yang diperolehi orang Ansar apabila lebih mengutamakan orang lain daripada diri sendiri.

- Advertisement -

Demikian huraian Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam Bual Bicara melalui program Jelajah Kasih 2.0 di Kampung Banggol Binjai, Tepoh malam tadi.

“Dengan sifat memberi dan menerima , orang Ansar berjaya melahirkan pejuang yang hebat.

“Kita perlu mengatur langkah demi melahirkan bangsa dan agama yang hebat, menyayangi serta mencintai Allah untuk mencari redha Allah SWT.

“Penyatuan dua parti besar dalam negara kita tidak lain asasnya adalah redha Allah bukan dengan sandaran objektif selainnya,” tegasnya.

Mohd Khairuddin menyarankan kepada semua pimpinan masyarakat agar membina rakyat ke arah mencapai redha Allah nescaya  mempunyai keazaman membantu agama.

Jelasnya, dengan menyemai rasa sayang kepada orang lain akan membentuk satu akhlak saling membantu bahkan memupuk cinta tanpa sempadan dan kepentingan tertentu.

Sementara itu, Jelajah Kasih merupakan satu program yang dirangka bagi mendekati rakyat bersama wakil rakyat dan pimpinan setempat. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -