KESEDAR utamakan selesai isu tanah peneroka

- Advertisement -

BACHOK: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, komited untuk menyelesaikan isu hak milik tanah yang dihadapi lebih 2,200 peneroka di Kelantan, kata Pengerusinya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

- Advertisement -

Beliau berkata perkara berkenaan menjadi keutamaan KESEDAR dan kerajaan, kerana peneroka sewajarnya diberi hak milik atas tanah tertentu, selepas menerokanya sejak beberapa tahun lamanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, penyelesaian kepada isu berkenaan merupakan hasrat sebenar golongan peneroka, yang membabitkan empat jajahan iaitu Gua Musang, Tanah Merah, Jeli dan Kuala Krai.

“Ada beberapa perkara tergantung, saya bersama dengan kerajaan negeri dan persekutuan akan cuba menyelesaikannya.

“Namun, ini mendorong semangat saya untuk menyelesaikannya dengan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan persekutuan, dan hasilnya sangat positif apabila proses mengenainya sedang berjalan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Betta di Pantai Irama di sini, hari ini.
 
Mengulas mengenai pertandingan Betta atau ikan cantik, beliau berharap agar penganjur acara itu dapat memperbetulkan persepsi negatif sesetengah pihak, yang menganggap bahawa spesis ikan itu hanya dibela untuk berlaga sebagaimana dilakukan oleh segelintir golongan, dan perkara itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Di samping itu, Nik Mohamad Abduh juga berkata, penganjuran pertandingan seumpama itu perlu dijadikan acara tahunan di Pantai Irama, bagi menarik pelancong tempatan untuk mengunjungi pantai tersebut yang merupakan antara pantai tercantik di negara ini.

Selain itu, Nik Mohamad Abduh juga berharap agar pertandingan akan datang dapat diperluaskan ke peringkat antarabangsa, bagi merancakkan industri pelancongan di Kelantan.

Sebanyak enam negeri mengambil bahagian pada pertandingan yang diadakan selama dua hari, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Melaka, Johor dan Kelantan, sebagai tuan rumah dan kira-kira 1,500 ikan dipertandingkan dengan membabitkan 500 peserta. – BERNAMA

- Advertisement -