Kerajaan Sabah dilihat tiada upaya tangani COVID-19

SPR perlu perketatkan SOP elak jangkitan COVID-19 terus merebak

- Advertisement -

SABAH semakin membimbangkan, laporan pandemik COVID-19 semakin hari semakin meningkat dan sudah menular dalam kalangan masyarakat.

Tawau dan Lahad Datu telah dikategorikan sebagai Zon Merah, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 20 September menyatakan terdapat 36 kes baharu dilaporkan di Sabah daripada 52 kes keseluruhan Malaysia.

Daripada 36 kes tersebut, 26 kes adalah warganegara Malaysia dan 14 kes adalah bukan warganegara. Perkara ini semakin merisaukan rakyat Sabah secara keseluruhannya dan menjadi kebimbangan para pengundi yang akan turun mengundi pada 26 September ini.

- Advertisement -

Hari pengundian semakin hampir, kerajaan sementara yang ada sekarang tidak boleh membuat keputusan untuk menyelesaikan kemelut ini, maka saya menyeru kepada semua rakyat Sabah agar sentiasa menjaga kesihatan dan mematuhi SOP yang digariskan oleh SPR semasa turun mengundi sekali gus dapat memilih pemimpin yang benar-benar prihatin dengan kesengsaraan rakyat Sabah.

Saya berharap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) agar dapat memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang hari berkempen sehingga hari pengundian nanti. Buat para petugas kempen dan khususnya ahli PAS hendaklah sentiasa berwaspada dan mengamalkan norma baharu yang disarankan oleh pihak KKM serta berhati-hati sepanjang masa.

Saranan ini bagi mengelak pertambahan kes COVID-19 akibat daripada aktiviti pergerakan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini berlangsung. Petugas barisan hadapan kita sedang bertungkus lumus merawat dan menyelamatkan rakyat Sabah, kita juga perlu membantu barisan hadapan kita bagi mengekang penularan ini. 

Terima kasih kepada semua kakitangan barisan hadapan di atas penat lelah kalian dalam membendung penularan wabak COVID-19. Saya mendoakan agar seluruh rakyat Sabah terhindar daripada wabak COVID-19 yang kian menular.

NORSAH BONGSU
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah
21 September 2020 – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -