Kenyataan pemimpin Warisan menghina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mendakwa pengorbanan anggota keselamatan ketika pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu sebagai sandiwara dan sekadar perang melawan ayam dan anjing adalah satu penghinaan.

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata kenyataan sebegitu sangat tidak patut dikeluarkan oleh seorang pemimpin yang jelas ia satu penghinaan kepada barisan pertahanan negara.

“Ini jelas sekali satu penghinaan kepada agensi keselamatan seperti polis dan tentera yang telah berkorban untuk menjaga keselamatan negeri ini daripada penceroboh,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Hari ini tular satu video Ahli Parlimen Lahad Datu, Dato’ Mohamaddin Ketapi dalam ceramahnya semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Gelanggang Futsal, Kampung Warisan Lahad Datu pada Ahad lalu (20 Sept).

Dalam video itu Mohamaddin menegaskan bahawa tragedi pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 adalah satu sandiwara oleh kerajaan pada masa itu (BN).

“Kamu ingat dahulu Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, dia (kerajaan BN) bilang Filipina mahu ambil Sabah. Jadi ada peperangan konon di Tanduo, datanglah jet (pesawat tentera) pergi Tanduo dibomnya sana kelapa sawit orang, habis hangus kelapa sawit orang, habis rumah orang kuyak (rosak) ditembak,

“Ini kenyataan, habis itu disuruh kereta kebal masuk ke kampung-kampung, suruh berperang sama ayam. Siapa kawan dia berperang, tidak ada, ayam sama anjing di kampung kawan dia berperang.

“Apabila habis pilihan raya, tiada pula peperangan itu. Ketika saya menjadi wakil rakyat di Lahad Datu pada 1986 dalam parti bersatu Sabah, tidak pernah saya jumpa orang lanun dan Filipina serta orang yang membawa senjata mahu berperang atau rampas Sabah.

“Ketika itu kononnya Umno akan kalah kepada PKR, terus ada perang di Tanduo. Banyak orang mati disebabkan sandiwara itu, sandiwara bohong menembak,” kata Mohamaddin yang juga calon parti Warisan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Segama dalam klip video berkenaan.

Mengulas lanjut, Aliakbar berkata sebagai pemimpin politik tidak sepatutnya menjadi batu api atau penghasut semata-mata untuk meraih undi kerana apa yang dikatakan itu melibatkan keselamatan negara.

“Kena berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana ianya berkait isu keselamatan rakyat dan kedaulatan negara,” jelasnya lagi.

Selain itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Dato’ Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan turut mengkritik dan menyifatkan pemimpin Warisan itu buta mata dan hati.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, pertempuran di Tanduo menyaksikan 235 pengganas mendarat di Sabah dari Pulau Siminul, Filipina sehingga menyebabkan 10 orang anggota keselamatan Malaysia terkorban, termasuk dalam beberapa serangan hendap.

Katanya, rakyat seharusnya menolak pimpinan yang tidak menghargai jasa barisan keselamatan melindungi kedaulatan negara khususnya Sabah. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -