Jentera PRU15 PAS Kuantan bersiap siaga

- Advertisement -

KUANTAN: Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Kuantan telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad di Hotel Seri Malaysia, di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau dalam ucapannya menegaskan betapa pentingnya perjuangan PAS ini berkesinambungan kepada anak-anak dengan cara menggalakkan dan membiasakan mereka dengan program parti ini.

Jelas beliau, ianya agar anak-anak mendapat pendedahan mengenai kefahaman perjuangan PAS yang merupakan kesinambungan daripada para Nabi dan Rasul.

Kamaruzaman turut menyeru jentera memaksimumkan gerak kerja dan mengambil peluang perubahan politik ketika ini untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Manakala Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar memperhalusi kupasan mengenai wala’ dan taat yang menjadi intipati penting membolehkan setiap ahli mencurahkan daya gerak kerjanya.

“Ahli jemaah yang mempunyai sifat wala’ sudah tentu mempunyai sifat taat. Tetapi mereka yang hanya mempunyai sifat taat, belum tentu mempunyai sifat wala’. Kerana wala’ itu adalah mencurahkan kesetiaan dengan bersamanya kasih sayang,” ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Parlimen Kuantan, Sulaiman Md Derus pula menegaskan keperluan mewujudkan tentera siber secara menyeluruh di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM).

Ahli juga gesanya, mesti menggiatkan lagi usaha gerak kerja Ansar secara berterusan, selain menggembleng tenaga untuk memastikan agar kemenangan dapat dicapai.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj dan juga diadakan gimik penyerahan bendera PAS kepada Pengarah-pengarah Jentera Pilihan Raya bagi Parlimen Kuantan P.083 dan DUN N.14 Teruntum, DUN N.15 Tanjung Lumpur serta DUN N.16 Inderapura.

Hadir sama adalah Pengerusi As-Sabiqun PAS Pahang, Ismail Mohamed dan Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Kuantan, Ramesh Anthoni Moorthi. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -