Himpunan Jentera PRU15 Pekan isyarat siap siaga

- Advertisement -

PEKAN: PAS Kawasan Pekan mengisyaratkan kesiapsiagaannya untuk memasuki medan PRU15 apabila telah mengadakan Himpunan Jentera Pilihan Raya empat DUN di bawahnya masing-masing 18 dan 19 September kelmarin.

- Advertisement -

Program bermula di DUN Chini yang telah dihadiri Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang merangkap ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Manakala DUN Peramu Jaya dan DUN Bebar menyusul pada keesokan pagi harinya sebelum berakhir di DUN Pulau Manis pada malam yang sama, kelmarin.

Di antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf serta Pengarah Pilihan Raya PAS Pekan, Nadzahar Othman.

Menurut Nadzahar, program ini bagi mempersiap dan memperkemaskan Jentera Pilihan Raya PAS Pekan selaras dengan saranan pimpinan utama PAS Pusat.

Sementara itu, Ustaz Rosli telah mengingatkan semua anggota jentera di Peramu Jaya dan Bebar supaya tidak duduk selesa walaupun berada di kerusi selamat iaitu Pekan.

Beliau yang juga merupakan ADUN Tanjung Lumpur, mengingatkan bahawa kerjasama dengan Umno wajar dimanfaatkan sepenuhnya  untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Di DUN Pulau Manis pula, beliau menumpukan peringatan berkenaan taat kepada arahan pimpinan dan wala’ kepada parti di samping perlu bersabar dalam mendepani cabaran seterusnya.

Wala’ dan taat adalah dua pekara berbeza yang tidak ada dalam parti lain di mana wala’ merupakan akidah iaitu kesetiaan manakala taat adalah syariat iaitu kepatuhan,” jelas beliau.

Himpunan juga diisi dengan bacaan ikrar yang mengikat semangat ahli untuk terus komited dan bersungguh-sungguh mempertahan dan menjaga perjuangan PAS. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -