Daftar mengundi serlah patriotik pada negara

- Advertisement -

DUNGUN: Mendaftarkan diri sebagai pengundi kali pertama merupakan tanggungjawab yang mesti dijalani oleh setiap rakyat Malaysia berumur 21 tahun sebagai menzahirkan patriotisme mahu meletakkan negara berada di dalam keadaan baik.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun, Ghazali Sulaiman berkata, setiap rakyat perlu celik melihat kepentingan menjadi pengundi kerana sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, cara demikian menentukan nasib pemerintahan di dalam negara.

“Semua orang sedar akan keadaan sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negara. Setelah 22 bulan memberi kesan yang sangat buruk di dalam sejarah pemerintahan negara. Mereka tiada visi untuk rakyat.

“Dalam keadaan politik yang tidak stabil ini maka sudah tentu mandat akan diserahkan kembali kepada rakyat, dan ini masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya. Jadi disini pentingnya tanggungjawab mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Jangan hanya niat dengan hati sahaja untuk melihat negara stabil dari sudut politik sedangkan tanggungjawab sebagai pengundi tidak dijalankan, masih lagi tidak mendaftarkan diri terutama di kalangan anak muda yang sudah pun berusia 21 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Bukit Besi dirasmikan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Azman Shapawi, selain turut mengulas mengenai usaha yang dijalankan bagi menambahkan keahlian serta pemilih baru, kelmarin.

Kata Ghazali pihaknya telah berusaha sedaya upaya bagi memudahkan anak muda di DUN berkenaan tidak terlepas dari menjalankan tanggungjawab berkenaan.

“Dengan mana kita telah membuat secara ‘rotate’ bagi mengadakan Gerak Gempur Daftar Pemilih di setiap tempat yang menjadi tumpuan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pasar-pasar awam, pasar minggu, pasar malam atau pelbagai lokasi yang kita fikir sesuai untuk memastikan pendaftaran sebagai pemilih atau pengundi dapat dilakukan dengan mudah.

“Anak muda generasi millenia ini kita rasa perlu untuk didorong dan dicelikkan dengan politik dengan cara yang mudah dan senang. Kerana golongan anak muda pada masa kini mereka dilihat mahukan segala-galanya dapat dilakukan dengan mudah dan senang.

“Disamping perlu diberi penerangan dan pendedahan kepada mereka melalui media sosial secara berterusan agar dapat menyuntikkan kefahaman yang baik supaya mereka menjadi pengundi yang bijak bagi menentukan masa depan negara,” ujarnya.

Selain itu katanya, PAS Bukit Besi telah melancarkan Jentera Pilihan Raya di peringkat DUN Bukit Besi sebagai tanda persediaan bagi menghadapi pilihan raya di peringkat Parlimen yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Turut hadir, Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Negeri Terengganu, Alghazali Abu Bakar dan Setiausaha PAS DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -