APSA kembali mulakan kelas DEN yang tertangguh

- Advertisement -

KUANTAN: Pengajian Diploma Eksekutif Naqibat (DEN) di bawah Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) yang tertangguh sejak Mac lalu disebabkan COVID-19 telah memulakan kembali kelas di premisnya di Taman Guru, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Langkah tersebut nyata melegakan para pelajar antaranya enam anggota Muslimat PAS Kawasan Kuantan diketuai sendiri Ketuanya, Azizah Ali, 68 yang rata-rata membuktikan umur bukan penghalang menimba ilmu.

Semangat diserlahkan mereka sebagai pelajar untuk 6 semester itu selari visi APSA iaitu untuk ‘Menjadi Institusi yang mampu membangunkan keupayaan kepimpinan muslimah berteraskan pembudayaan ilmu menurut Islam’.

Malah, memastikan anggotanya dapat menamatkan pengajian diploma itu hingga jayanya, Muslimat PAS Kuantan telah mendapatkan penajaan bagi membiayai keperluan mereka sepanjang tempoh tersebut.

Menurut Azizah, ianya selari hasrat APSA untuk memperkasakan ahli-ahli penggerak Muslimat PAS Kuantan ke arah membangunkan Muslimat yang berkualiti melalui pentarbiyahan professional, kemantapan dan kesepaduan ilmu.

Selain itu katanya, institusi tersebut bercita-cita meningkatkan pengalaman dan kemahiran Muslimat sesuai dengan cabaran semasa dan untuk menjadikan mereka penyumbang utama tenaga penggerak muslimah dalam masyarakat.

“Alhamdulillah, kami Muslimat PAS Kawasan Kuantan akan terus menyahut seruan Presiden PAS dalam ucaptama Muktamar PAS Pusat Ke-66 tahun baru-baru untuk memperkasakan kepimpinan dan ahli Muslimat PAS dan berperanan di mana sudut sahaja di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Pada ketika ini seramai 21 pelajar mengikuti pengajian di Cawangan Kuantan dan 17 pelajar lagi di Cawangan Temerloh yang beroperasi di Komplek Tahfiz Al-Qardhawi, Kerdau bagi sesi kuliah Semester ke-2 melibatkan lapan pensyarah.

Menurut Pengarah APSA Cawangan Pahang, Norzilah Hussain, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kuliah ditangguhkan selama enam bulan, walaupun terdapat cadangan untuk mengadakan kuliah secara atas talian (online).

“Belajar secara online tidak memberi kepuasan kepada pensyarah dan pelajar kerana tidak dapat berinteraksi dengan baik, dengan suasana di rumah yang terganggu dengan anak-anak kecil dan sebagainya di samping ada pelajar yang tidak mendapat liputan internet yang baik di kawasan tertentu,” kata beliau.

APSA Pahang telah beroperasi selama empat tahun dan telah melahirkan graduasi pada pengambilan pertama seramai 23 orang yang kini telah berkhidmat dalam masyarakat menyampaikan dakwah.

“Sesuai dengan slogan APSA, ‘Muslimah berilmu, berjihad dan berkorban. Bersama Memimpin perubahan’, akan dapat menghasilkan produk Muslimat yang berilmu, mempunyai ketahanan diri, sanggup berkorban untuk memimpin dan membina masyarakat demi kemakmuran dan kesejahteraan negara,” tambah Norzilah lagi.

Pengurusan APSA Pahang berharap dengan beroperasinya kembali kelas pengajian seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akan menaikkan semangat Naqibat Pelatih APSA untuk terus menuntut ilmu serta menyebarkan benih-benih dakwah Islam di seluruh Pahang. – HARAKAHDAILY 21/9/2020

- Advertisement -