Wajibkan pemaju bina tangki tadahan air hujan

Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperluaskan dan mewajibkan pemaju membina tangki tadahan air hujan di setiap premis dan bangunan.

Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor (DMPNS) berpendapat selain dapat mengatasi masalah terputus bekalan air di rumah dan premis, ia juga mampu menjimatkan kos bil air.

Advertisement

Pengerusinya Nor Riha Yusoff berkata, sejak tahun 2006, kerajaan telah mewajibkan bangunan besar mempunyai tangki tadahan air hujan untuk kegunaan dalam bangunan itu.

Ianya sesuai dengan saranan kerajaan yang menggalakkan pembinaan bangunan hijau (green building).

Katanya, bagi menggalakkan pemaju, kerajaan memberi insentif dalam bentuk rebat cukai CIDB kepada pemaju yang membina bangunan hijau.

“LATAS DMPNS mencadangkan agar kerajaan mewajibkan pembinaan tangki air tadahan hujan (Water Harvesting Tank) diperluaskan kepada premis komersial yang lain, rumah kos tinggi dan sederhana.

“Rekabentuk bumbung mestilah berkonsepkan roof water harvesting.

“Kelebihannya, bil air dapat dijimatkan dan ada bekalan air alternatif dalam situasi terputusnya bekalan air paip terawat dapat diatasi.

“Undang-undang kecil ini penting khususnya kepada Negeri Selangor yang mempunyai penduduk yang ramai dan selalu berlaku pencemaran punca air bekalan,” ujar Nor Riha dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, semalam sekali lagi berlaku pencemaran air walaupun tidak berlaku penutupan bekalan air.

Sehubungan itu, Nor Riha mendesak kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pengusaha kilang haram supaya pencemaran sungai akibat pembuangan bahan kumbahan toksik tidak berulang lagi.

Pada 3 September lalu, hampir lima juta penduduk di Negeri Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selama beberapa hari akibat pembuangan sisa kumbahan dari kilang haram di Sungai Gong menyebabkan empat loji rawatan air Sungai Selangor fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan. – HARAKAHDAILY 20/9/2020