Penjawat awam jadi penghubung kerajaan-rakyat

- Advertisement -

KANGAR: ‘Sentuhan’ penjawat awam masih diperlukan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, walaupun kerajaan akan memperkenalkan sistem kerajaan elektronik (e-kerajaan) bagi menambah kecekapan penyampaian perkhidmatan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat berkata e-kerajaan diperakui menambah baik sistem penyampaian yang lebih berkesan, namun ia tidak mampu secara fizikal menjalankan tugas yang dilakukan oleh penjawat awam.

“Ada tugasan tertentu perlu disampaikan secara ‘sentuhan’ daripada kerajaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 di sini, semalam.

Beliau berkata CUEPACS menyokong penuh dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberi jaminan untuk terus mengekalkan 1.6 juta orang penjawat awam meskipun e-kerajaan dilaksanakan.

- Advertisement -

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata penjawat awam masih diperlukan untuk melakukan pelbagai tugas bagi meningkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan, justeru tidak timbul isu pengurangan jumlah sedia ada kerana tenaga penjawat awam diperlukan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan kualiti perkhidmatan. – BERNAMA

- Advertisement -