MINDEF cadang elaun untuk penerima PJM

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang untuk menyediakan elaun bulanan bagi penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai jasa mereka dalam mempertahankan negara sewaktu darurat dahulu, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

- Advertisement -

Beliau berkata cadangan elaun bulanan sebanyak RM300 atau RM350 itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Sebelum ini mereka pernah mendapat bayaran sekali bayar sebanyak RM500. Jadi, kita berniat dan bercadang untuk memberi sumbangan tetap kepada penerima PJM. Ini sebagai mengenang jasa mereka yang sangat besar dalam menentang komunis sewaktu darurat dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penganugerahan PJM Peringkat Sabah kepada 350 penerima, di sini kelmarin.

Ditanya sama ada cadangan ini dilihat sebagai gula-gula untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ismail Sabri berkata ia tiada kena mengena dan adalah satu kebetulan.

“Ini kali kedua penganugerahan PJM selepas di Johor bulan lepas. Majlis hari ini memang sudah dijadualkan terlebih dahulu. Kalau tiada PRN pun kita tetap akan buat majlis ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberi amaran kepada pihak tertentu supaya tidak menakut-nakutkan rakyat Sabah dalam isu keselamatan kerana badan pertahanan dan keselamatan negara sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dalam segala aspek bagi mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini. 

“Saya tengok semalam ada satu video seolah-olah mendakwa kita tidak bersedia. Saya ingin nyatakan bahawa tahap kesiapsiagaan kesemua lapisan tentera sentiasa diperkuatkan. Ini termasuk penambahan pos kawalan sempadan, aset ketenteraan dan kem tentera termasuk di Sabah yang ada dan akan dirancang.

“Yakinlah kita mampu mempertahankan kedaulatan Sabah jika ada ancaman dari luar dan kita tidak akan berkompromi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -