Mahu lahirkan komuniti harmoni

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Zon 9 telah menganjurkan sambutan Hari Malaysia dengan meriah melibatkan acara konvoi kereta dan motosikal serta memasak bubur Asyura dan bubur lambuk.

Advertisement

Perasmian program telah disempurnakan Ahli Majlis MPM, Hamidon Ahmad yang juga Setiausaha PAS Kawasan Lumut didahului bacaan doa oleh Imam Masjid Ihsan Taman Samudera, Khairuddin Abdul Wahab.

Acara konvoi melibatkan lebih 100 peserta dengan lebih 50 kereta dan motosikal telah berlepas dari Padang Komuniti Manjung Point Seksyen 2 dan berakhir di Dewan Komuniti Taman Samudera.

Ahli Majlis MPM Zon 9, Rosli Abd Rahman juga selaku Yang DiPertua PAS Lumut menyifatkan perpaduan rakyat Malaysia terus utuh sebagaimana komitmen penduduk dan agensi yang menjayakan program itu.

“Hubungan baik antara pentadbir dan komuniti setempat diharap melahirkan ukhuwah yang mantap sebagaimana dituntut Islam,” ujarnya.

Katanya lagi, program seumpama diharap dapat diadakan pada skala lebih besar dalam menyuburkan silaturahim dalam kalangan penduduk seterusnya melahirkan komuniti yang harmoni. – HARAKAHDAILY 20/9/2020