Kaum ibu khatam al-Quran sempena Hari Malaysia

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Kaum ibu warga penduduk Taman Balok Perdana telah menyambut Hari Malaysia dengan mengadakan majlis khatam al-Quran yang dilangsungkan di Surau As-Syakirin, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Majlis ini adalah meraikan peserta dan menjadi penutup tilawah al-Quran norma baharu yang telah dilaksanakan secara atas talian bermula 1 Ramadan hingga 15 Syawal lalu di mana semua peserta menyempurnakan bacaan 30 juzuk.

Program selama 45 hari dari kediaman masing-masing ketika itu adalah antara cara kaum ibu warga penduduk terus menjalin ukhuwah, selain membugarkan penghayatan ibadah dan keilmuan berteraskan cahaya al-Quran.

Bersempena majlis ini juga telah diadakan segmen khas tazkirah mengupas tajuk ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ dari tema Maulidur Rasul tahun ini yang disampaikan penceramah jemputan, Solehah M Shah.

Beliau dalam pengisiannya mengingatkan mengenai panduan syariat untuk membentuk keperibadian keluarga ke arah menghasil ummah rabbani, antaranya menerapkan ciri alim, haraki dan sufi atau AKIFI dalam rumah tangga.

Menurut isteri kepada Pengerusi Surau As-Syakirin, Norazah Abd Aziz, aktiviti itu bermakna kaum ibu terlibat telah mengimarahkan madrasah Ramadan dan berharap program seumpama termasuk majlis ilmu dan bacaan Yaasiin dapat dijayakan.

Pertemuan tersebut juga menjadi medan perbincangan kaum ibu yang hadir di mana mencadangkan antaranya diadakan kelas khas bacaan al-Quran dan pasukan bacaan Yaasiin dalam kalangan penduduk.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Cawangan Balok Perdana, Wan Haniza Wan Mohd memaklumkan cadangan tersebut telah ada dalam perancangan asal, namun tertangguh oleh pandemik COVID-19 yang melanda.

Hadir sama di majlis ini adalah Ketua Muslimat PAS Balok Perdana, Zaimah Mohd. – HARAKAHDAILY 20/9/2020

- Advertisement -