Jangan pindah ternakan elak wabak merebak

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain.

- Advertisement -

“Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.

“Hari ini penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori bersama dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran pengarah JPV.

“Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu, perintah di bawah subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

Sehubungan itu ujarnya, larangan tersebut perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak bagi mengelak wabak penyakit merebak ke tempat lain.

“Daerah yang terjejas sekarang iaitu Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat juga perlu mendapat kebenaran JPV,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 20/9/2020

- Advertisement -