Dakwah adalah modal, bahan kempen utama PAS

- Advertisement -

RAUB: PAS Kawasan Raub telah mengadakan majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Tras yang dilangsungkan di Kampung Melayu Sempalit, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Perasmian telah disempurnakan ADUN Chenor, Ustaz Mujiburahman Ishak sempena usrah bulanan gabungan PAS Cawangan Kampung Melayu Sempalit, Raub Bandar dan Sempam.

Beliau dalam ucapannya mengajak hadirin melihat betapa aspek kewangan menjadi modal yang sering digunakan parti politik setiap kali berkempen dalam pilihan raya.

Menurut beliau, pengundi terutama di pedalaman yang mungkin mempunyai isu kewangan sering menjadi sasaran kempen mudah dengan bermodalkan wang untuk menarik sokongan.

Namun katanya, hal tersebut berbeza dengan PAS yang di mana sahaja berkempen hanya bermodalkan dakwah meyakinkan pengundi untuk menjadikan Islam jaminan dan kesejahteraan hidup.

Tegas beliau, dengan modal dakwah tersebutlah mesti dipikul oleh setiap ahli PAS untuk parti ini memasuki PRU15 nanti dan menjadi bahan kempen utama ke atas pengundi.

Hadir sama pada majlis ini adalah Yang DiPertua PAS Raub, Dr Mohammad Nilam Manaf bersama Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan PAS Cawangan-cawangan dalam DUN Tras. – HARAKAHDAILY 20/9/2020

- Advertisement -