SPRM ambil dokumen kes ceroboh tanah Raub

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil dokumen berkaitan isu pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub, Pahang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya telah mengambil dokumen terbabit di Pejabat Daerah Tanah Raub, Pejabat Hutan Daerah Raub dan Pejabat Renjer Raub, Pahang untuk dikaji dan disiasat dengan lebih lanjut.

“Perkara ini perlu kami ambil semua perkara. Kami (SPRM) tak boleh mendengar sebelah pihak sahaja,” katanya kepada Bernama di pejabatnya, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Dalam perkembangan sama, Azam berkata sehingga Selasa lepas, SPRM telah memanggil 18 individu yang terlibat dalam mengusahakan tanah di Raub itu dan telah dirakam percakapan.

Sebelum ini, Azam dilaporkan mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut dari Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri itu.
 
Pada 1 Ogos, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru berkaitan kes pembelian hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc), Azam berkata kes itu telah selesai disiasat.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, beberapa individu akan dituduh dalam tempoh terdekat ini,” katanya ringkas.

Pada 2015, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. – BERNAMA

- Advertisement -