Portal SPRM versi Mandarin?

SAYA ambil maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam suatu kenyataan rasmi di laman Facebook SPRM berkenaan pelancaran portal bahasa Mandarin.

Advertisement

Usaha ini dikatakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya tersebut.

Saya memandang serius isu ini dan menganggap tindakan berkenaan adalah sangat tidak wajar kerana mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sewajibnya difahami oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan, serta lain-lain bangsa dan suku yang mengaku mereka adalah warganegara Malaysia yang sah.

Perlu diingat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan adalah dijamin oleh Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152.(1)(a) yang menyatakan “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain”.

Tindakan mewujudkan portal ini bahkan akan menggalakkan pihak-pihak lain untuk mengikuti langkah yang sama apatah lagi dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan.

Apakah SPRM ingin mengatakan bahawa salahlaku rasuah yang tinggi berpunca daripada kegagalan memahami portal SPRM dalam bahasa Melayu? Persoalan ini perlu dijawab oleh SPRM.

Pada masa yang sama, saya menggesa agar Pindaan Akta DBP 1959 dibentangkan di Parlimen sesi akan datang agar peranan DBP tidak dilihat hanya memberi galakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, bahkan memberi punca kuasa kepada DBP bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap penggunaan bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan.

Tidak ada toleransi terhadap tindakan merendahkan martabat bahasa Kebangsaan!

IR HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/9/2020