Polis kerjasama FELDA tangani masalah ketum

PADANG BESAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi menangani jenayah berkaitan penyeludupan dan penyalahgunaan ketum yang semakin meningkat di negeri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata kenaikan sebanyak 60 peratus penagihan dan pengambilan ketum di negeri berbanding tahun lepas amat membimbangkan dan pihak PDRM akan mengambil tindakan yang lebih tegas untuk mencegah penyalahgunaan itu daripada terus berlaku.

“Pihak polis memilih FELDA sebagai fokus utama bagi menghapuskan pokok ketum yang ditanam di sekitar kawasan FELDA dengan kerjasama pihak FELDA yang turut mengambil berat isu ini.

Advertisement

“Jika program ini berjaya kita percaya PDRM akan dapat mencegah penyalahgunaan ketum ini dengan lebih berkesan dan sekali gus operasi pencegahan ketum yang telah dijalankan bermula Ogos lalu akan menampakkan kesan positif,” katanya kepada media pada Program Ketua Polis Perlis Bersama Komuniti FELDA Mata Ayer di sini kelmarin.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Surina  menasihati orang ramai agar menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) iaitu inovasi baharu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memudahkan orang awam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis. – BERNAMA