Kuasai media sosial dan IT

- Advertisement -

AYER KEROH: Setiap ahli PAS harus menguasai media sosial dan medium teknologi maklumat (IT) sebagai wadah menyampaikan maklumat berkaitan isu semasa.

Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, setiap ahli PAS juga harus menjadi sukarelawan ‘tentera media sosial’ untuk membina naratif betul lagi benar dalam melawan naratif bersifat fitnah dan adu domba.

- Advertisement -

Malah dalam masa yang sama menaikkan imej parti serta Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Taktik bertahan dan menyerang, seperti yang disebut oleh Tuan Guru Presiden mesti dilakukan secara berhemah agar maklumat dapat disampaikan dengan benar, mendidik dan mematangkan rakyat.

“Agar mereka menjadi pengundi yang berilmu dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah politik,” ujarnya.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan jutaan tahniah dan penghargaan di atas usaha pihak Jabatan Informasi dan Teknologi Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang bertungkus-lumus menganjurkan program itu bagi membantu perjuangan parti dan memberi impak yang lebih hebat di masa akan datang.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu berkata demikian semasa merasmikan program IT Speed Training 5.0 Zon Selatan (Melaka, Negeri Sembilan dan Johor) anjuran Jabatan Informasi dan Teknologi Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bertempat di D’Village Resort Melaka, di sini pagi tadi.

Seramai 50 orang peserta termasuk sukarelawan berpeluang mempelajari teknik melibatkan latihan pengendalian poster high impact, video dan montaj, teknik photophone, pengendalian teknikal acara dan penyelarasan media baharu yang berkesan. – HARAKAHDAILY 19/9/2020

- Advertisement -