Kelantan potensi jadi hab nanas pengeluar MD2

PASIR PUTEH: Kelantan berpotensi menjadi negeri hab pengeluaran nanas terbesar dengan varieti MD2 dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kata Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Kelantan Mohd Zamani Ab Ghani.

Beliau berkata ini berikutan terdapat banyak kawasan tanah tinggi dan berbukit yang sesuai dengan tanaman varieti berkenaan, malah sehingga kini lebih 83 hektar tanaman MD2 diusahakan oleh lebih 100 petani serta pekebun kecil sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016.

“Sambutan terhadap tanaman itu sehingga sekarang sangat menggalakkan terutama pegawai-pegawai kerajaan yang berpencen seperti guru selain petani dan pekebun kecil (yang mengusahakannya),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Nanas MD2 di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Alumni 4B Kelantan Datuk Dr Mohd Kaisan Ab Rahman.

Advertisement

Mohd Zamani berkata varieti itu berbeza berbanding nanas lain kerana ia tidak memberi kesan terhadap kesihatan selain rasanya lebih manis dan tahan melawan serangan serangga perosak.

“Varieti nanas itu mampu menghasilkan pendapatan antara RM8,000 hingga RM25,000 bagi setiap hektar jika diusahakan mengikut (cara) tanaman yang betul,” katanya.
 
Bagi menjamin pasaran MD2, beliau berkata pihaknya bercadang akan membuka kedai khas mengenai varieti itu di setiap jajahan di Kelantan sebelum mengeksport ke negeri lain dan setakat ini empat kedai telah diwujudkan iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas yang merangkumi Rantau Panjang.

Beliau turut berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah meluluskan peruntukan RM1.8 juta antaranya membabitkan bantuan benih dan khidmat nasihat sepanjang tahun ini untuk membangunkan tanaman nanas itu di Kelantan.

Selain itu katanya, pihaknya juga menubuhkan Skim Agro Pemuda untuk menggalakkan golongan belia menceburi bidang industri pertanian dengan memberi bantuan RM20,000 kepada mereka yang mengusahakan tanaman varieti itu sekurang-kurangnya 0.46 hektar.

Sementara itu, Mohd Kaisan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan LPNM bagi menggalakkan 3,000 anggota alumni mengusahakan tanaman itu secara komersial. – BERNAMA