KASA laksana RTB atasi banjir di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sabah adalah antara projek yang sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi mengatasi dan mengurangkan risiko kejadian banjir di negeri ini.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata ia melibatkan 16 projek RTB dan satu projek saliran mesra alam dengan kos sebanyak RM827.94 juta  di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dari 2016 hingga 2020.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengkaji 12 projek baharu bagi negeri Sabah melibatkan kos berjumlah RM482 juta di bawah RMK12,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Ahmad Masrizal berkata kementeriannya juga sedang berusaha menaik taraf sistem pembetungan, loji rawatan air termasuk sistem agihan saluran air dan projek mengurangkan risiko hakisan pantai.

Beliau telah mengadakan lawatan meninjau kemajuan Projek RTB Sungai Tebongon di Kampung Teguli, Putatan, Sabah, bagi mengatasi sistem perparitan tidak efisien sehingga mengakibatkan kawasan kampung dan jalan raya berdekatan sering dilanda banjir kilat.

“Projek RTB Sungai Tebongon telah bermula pada 15 Ogos tahun lalu dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan melibatkan kos sebanyak RM18.1 juta.

“Skop bagi projek ini ialah membina parit konkrit sepanjang 1.75 km dan pembinaan pembetung jalan. Projek itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -