Gantung ayat al-Quran kelirukan pelanggan

- Advertisement -

IPOH: Seorang pemilik kedai makanan berdepan tindakan undang-undang selepas premis makanan miliknya di Seri Manjung, Manjung dikesan mempamerkan ayat al-Quran sehingga mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmod berkata sepasukan empat pegawai memeriksa premis itu pada 11 pagi tadi sebaik menerima aduan daripada orang awam. 

Katanya tindakan mempamerkan penggunaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam premis adalah umpama satu dorongan bahawa makanan yang dijual di premis itu halal atau boleh dimakan oleh orang Islam. 

- Advertisement -

“Berdasarkan pemeriksaan, pemilik premis yang merupakan rakyat tempatan sudah beroperasi tiga tahun namun gagal menunjukkan perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam negeri yang melayakkannya  menggunakan representasi ayat-ayat al-Quran di dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan  di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Badro berkata pemilik premis tersebut ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan dari premis terlibat disita bagi siasatan lanjut mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Katanya individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perbahasaan halal ke atas premis dan barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka selain meminta orang ramai supaya melaporkan sebarang maklumat berkaitan yang ada. – BERNAMA 

- Advertisement -