Belanjawan 2021: NUTP cadang elaun utiliti

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan supaya elaun utiliti untuk penjawat awam dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Presidennya, Aminudin Awang berkata inisiatif itu perlu diambil supaya dapat membantu penjawat awam termasuk warga pendidik untuk menanggung sebahagian daripada kos utiliti ketika bekerja dari rumah.

“Kita melihat bahawa ketika ini kita berada dalam satu era baharu, lebih 40 sektor dapat laksanakan bekerja dari rumah dalam kalangan penjawat awam. Apabila mereka bekerja dari rumah, ada kos-kos tertentu yang terpaksa ditanggung oleh penjawat awam sendiri.

- Advertisement -

“Pada masa akan datang, apabila ‘Home Based-Learning‘ (pembelajaran di rumah) dan ‘Home Based-Schooling‘ (pendidikan di rumah) diadakan, ada sedikit kos yang perlu ditanggung seperti kos internet,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Aminudin berkata pihak NUTP sedang merangka cadangan cuti sabatikal buat pensyarah IPG, yang akan dimajukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
 
Katanya isu cuti sabatikal ini muncul apabila sejak tahun 2019, pensyarah di IPG tidak lagi menerima cuti rehat khas seperti guru biasa tetapi hanya mendapat cuti tahunan.

Beliau berkata cuti sabatikal penting bagi memberi ruang kepada para pensyarah IPG menjalankan kajian-kajian yang mampu meningkatkan profesionalisme dan menghasilkan kajian-kajian yang memberi impak positif dalam kecemerlangan pendidikan negara. – BERNAMA

- Advertisement -