WANGSA MAJU: Sambutan Hari Malaysia 2020 telah dimeriahkan dengan penuh semangat patriotisme oleh lebih 500 warga penduduk pelbagai kaum dan usia pada program yang dilangsungkan Dataran Mahasa Villa, Padang Balang di sini kelmarin.
Program ini ialah anjuran bersama Persatuan Penduduk Mahasa Villa, Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, JMB Mahasa Villa dan Surau At-Taqwa Mahasa Villa Masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud dan Pengerusi Persatuan Penduduk Mahasa Villa, Mohamd Adzmi Minhat serta Wakil JMB Mahasa Villa, Ustaz Khairul Anuar Yahya.
Majlis bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ itu dimulai seawal jam 8 pagi dengan senaman aerobik, diikuti pelbagai acara menarik seperti timbang bola takraw serta pertandingan karom dan congkak.
Ustaz Abdul Rani dalam ucapan perasmiannya sempat membacakan sebahagian teks ketika pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 yang diucapkan pemimpin negara ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri itu,” bacanya.
Beliau ketika mengulas pengisytiharan tersebut berkata termeterainya ungkapan berkenaan disambut dengan sorakan ribuan rakyat yang hadir ketika itu menjadi bukti pembentukan kerajaan Raja berpelembagaan berasaskan demokrasi berparlimen.
“Kejayaan pembentukan Malaysia pada 1963 bukan satu perkara yang mudah dan berjaya dilakukan dalam sekelip mata apabila ia turut mendapat pelbagai persepsi berbeza daripada rakyat berbilang kaum.
“Oleh itu, kemakmuran antara masyarakat majmuk yang kita rasai hari ini harus dikekalkan demi memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2020