Walk4Dakwah PAS Bangi sempena Hari Malaysia

- Advertisement -

BANGI: PAS Kawasan Bangi telah menganjurkan Walk4Dakwah sempena Hari Malaysia yang diadakan serentak di tiga DUN berbeza iaitu di Taman Tasik Cempaka bagi DUN Sungai Ramal, Stadium Kajang bagi DUN Kajang dan Taman Lake Valley bagi DUN Balakong.

- Advertisement -

Program bermula seawal jam 7:30 pagi ini bertujuan untuk memupuk penghayatan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat berkenaan Hari Malaysia ini berlangsung ceria di sini kelmarin.

Pelbagai aktivti telah diadakan antaranya social experiment di mana para pengunjung yang datang beriadhah telah dipilih secara rawak dan diajukan beberapa soalan umum berkenaan hari bersejarah ini.

Edaran bendera Malaysia, risalah penerangan Hari Malaysia dari PAS Bangi dan air Gau juga telah diberikan secara percuma kepada pengunjung.

Tidak dilupakan pembukaan kaunter daftar pemilih turut dibuat bagi memudahkan masyarakat mendaftar sebagai pengundi dalam PRU15 akan datang.

Menurut Timbalan Ketua Muslimat PAS Bangi, Ustazah Halimah Zaharah Yaacob semua rakyat Malaysia perlu bersyukur di atas nikmat kemerdekaan dan keamanan yang dikurniakan Allah Taala di mana dengannya dapat hidup aman sejahtera.

“Diharapkan kita menghargai betapa Allah Taala telah memberikan kepada kita sesuatu yang amat berharga sebenarnya dan diharapkan keamanan serta keharmonian yang kita dapat pupuk dalam kalangan penduduk Malaysia yang tercinta ini akan terus dikekalkan,” ujarnya ketika memberi ucapan pembukaan di sini.

Turut hadir di Stadium Kajang ialah Pengarah JPrD Kajang, Ahmat Sulaiman, Ketua UKJ Kajang, Tengku Hasif Tengku Nikman dan wakil dari Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Jabatan Amal dan Briget Muslimat Bangi

PAS telah menerima reaksi yang baik dari para pengunjung di mana kebanyakan mereka memberi sokongan terhadap program yang diadakan ini.

Menghayati falsafah Islam kebangsaan

Sementara itu, Tengku Hasif Tengku Nikman menyatakan bahawa masyarakat terutamanya golongan muda perlu memahami falsafah yang diketengahkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai ‘Islam Kebangsaan’.

Hal ini kerana kebangsaan adalah sebahagian dari Islam di mana Tuan Guru mengemukakan falsafah Islam dan kebangsaan itu adalah sangat penting untuk difahami oleh anak-anak muda di Malaysia ini.

“Bila mana mereka faham mengenai Islam dan kebangsaan itu, mereka tahu bahawa kebangsaan ini adalah salah satu daripada Islam juga.

“Kalau kita tengok ayat ke-13 dari Surah Al-Hujurat, ini ada ditulis dalam buku Tuan Guru ini, kita akan nampak yang cinta kepada negara adalah satu tuntutan dalam Islam.

“Yang mana dengannya akan tertegaknya prinsip-prinsip Islam seperti menjaga hak sesama muslim dan hak sesama bukan-Muslim,” ujar beliau.

Hasif menyatakan sebab utama Tuan Guru memasukkan ayat ini dalam bukunya ini adalah untuk pembaca tahu bahawa yang membezakan di antara manusia di sisi Allah Taala hanyalah ketakwaan tanpa mengira etnik.

“Itu merupakan prinsip yang jelas dalam Quran, sebab itu tuan guru pun dia ada masukkan ayat ini dalam buku Islam dan kebangsaan itu supaya kita tahu bahawa kita manusia yang biasa.

“Yang sama yang membezakan antara kita ialah takwa, jadi kita Cina India, Melayu, orang Kadazan, Bidayuh. Semua boleh hidup bersama-sama. Yang penting kita kena bersatu atas dasar Islam,” tambah beiau. – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -