Saringan kanser rahim untuk pegawai, anggota PDRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seramai 17,751 pegawai dan anggota polis wanita di seluruh Malaysia akan menjalani ujian saringan Virus Papiloma Manusia (HPV) bagi mengesan kanser pangkal rahim peringkat awal di bawah program ROSE (Removing Obstacles to Cervical Screening).

Ketua Koperasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata ujian saringan yang merupakan hasil kerjasama dengan Yayasan ROSE itu bertujuan mengesan kanser lebih awal sebelum ia merebak dengan lebih serius.

“Ramai pegawai dan anggota polis wanita yang bekerja keras sebagai petugas barisan hadapan tidak berkesempatan untuk memberi perhatian kepada kesihatan diri mereka sendiri.

- Advertisement -

“Jadi menerusi program ini, ia dapat membantu mereka untuk mencegah dari awal penyakit seperti kanser servikal daripada menyerang,” katanya pada sidang media selepas hadir program ‘Frontliners Uniting Against Cervical Cancer’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur (DCP) Datuk Yong Lei Choo, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Profesor Datuk Dr Siti Zawiah Omar dan Penasihat Perubatan Teknikal ROSE Foundation Jabatan Obstetrik Ginekologi Universiti Malaya Professor Dr Woo Yin Ling.
 
Ujian itu dilakukan sendiri dengan cara calitan serta keputusan boleh diperolehi dalam masa 10 minit menerusi telefon bimbit yang berdaftar dengan Yayasan ROSE.

Tambahnya, program percuma yang ditaja oleh Etiqa Cares ini telah dimulakan di IPK Kelantan dan kini seramai 500 warga PDRM di IPK Kuala Lumpur telah dipilih untuk menjalani ujian saringan itu, dan kini ia akan diteruskan ke semua 13 kontinjen di seluruh negara.

“Pemilihan dilakukan menerusi dua kriteria iaitu golongan B40 kerana ujian itu boleh memakan kos RM250 hingga RM300 untuk seorang, dan mereka yang dalam linkungan umur 30 hingga 65 tahun lebih berisiko tinggi menghidapi kanser itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini seramai 10 anggota PDRM di seluruh Malaysia telah disyaki menghidap kanser serviks dan tiga daripadanya telah meninggal dunia pada tahun lepas dan tahun ini. – BERNAMA

- Advertisement -