‘Petting Zoo’ tarikan baharu Perak Agrotourism Resort

PASIR SALAK: Perak Agrotourism Resort (PATRO) akan membangunkan zoo haiwan jinak (petting zoo) terbesar di Malaysia pada Oktober ini dalam usaha meningkatkan kehadiran pelawat ke destinasi pelancongan tersebut.

Pengarah Eksekutif PATRO, Mohd Radzuan Abdul Karim berkata zoo tersebut yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan, akan dibina di atas kawasan seluas empat hektar di Sungai Galah dengan kos RM5 juta, menampilkan kombinasi tiga elemen – haiwan, tumbuhan dan alam semula jadi.   

“Ini merupakan cetusan idea Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) apabila saya membentangkan kertas kerja untuk penjenamaan semula PATRO yang ditutup sebelum ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya yang ditemui pemberita selepas pelancaran semula PATRO semalam.

Advertisement

PATRO sebelum ini ditutup buat sementara waktu sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas akibat penularan COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang hadir melancarkan semula PATRO, berkata pusat pelancongan lasak tersebut menawarkan diskaun hingga 50 peratus kepada pengunjung.

 Diskaun tersebut yang ditawarkan hingga Disember ini meliputi penginapan dan juga aktiviti seperti kenderaan pelbagai permukaan (ATV), kayak, jet ski, ‘paddle boat‘, basikal dan berkuda.

“Pembukaan semula PATRO ini dapat melengkapkan industri pelancongan di Perak dan merupakan antara usaha kita untuk menggiatkan semula aktiviti pelancongan di negeri ini,” katanya. – BERNAMA