Pertimbang guna surau terpilih untuk solat Jumaat

- Advertisement -

EKORAN pandemik COVID-19, seluruh negara ditentukan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk menjaga kemaslahatan rakyat.

- Advertisement -

Tidak terkecuali adalah masjid. SOP ditetapkan misalnya penjarakkan fizikal 1 meter antara setiap jemaah ketika solat, pemakaian facemask, sanitizer, rekod nama, scan MySejahtera, pengambilan suhu badan, kewajipan membawa sejadah sendiri, selain warga asing, warga emas dan kanak-kanak tidak dibenarkan.

Saya menerima aduan ekoran penjarakan fizikal 1 meter, kapasiti masjid menjadi 1/3 dari bilangan jemaah yang biasa dapat ditampung. Kalau biasa boleh muat 1000 orang, akan muat cuma dalam 400 orang. Baki yang lain akan terpaksa berada di laluan pejalan kaki, kaki lima, sebahagian di tempat meletak kereta berbumbung dan ramai juga di atas tanah atau kawasan parking bertar secara terbuka.

Hari ini saya ingin melihat dan merasai sendiri situasi itu dan bersama jemaah yang lain duduk di atas tanah tanpa berbumbung bawah terik matahari.

Sekurang-kurang untuk Parlimen Kuala Terengganu jika boleh saya cadangkan di mana kita ada banyak surau yang besar dan sentiasa diimarahkan dengan baik serta telah mempraktikkan SOP yang sama dan mempunyai kemudahan setanding masjid seperti mimbar, sistem PA, projektor, malah banyak juga berhawa dingin.

Sebahagiannya pernah memenangi anugerah Surau Terbaik sempena Maal Hijrah dan ada masjid lama yang asal sebelum digantikan dengan masjid baru misalnya Masjid Lama Durian Burung.

Apa kata untuk sepanjang tempoh COVID-19 ini dipertimbangkan kebenaran sementara mengadakan solat Jumaat untuk surau-surau terpilih yang diaudit dulu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu?

Sekurang-kurangnya matlamat SOP misalnya menjaga kebersihan tidak menjadi gagal bila ada jemaah terpaksa solat dipersekitaran tidak bersih seperti di kaki lima, tepi longkang, tangga atau tanah. Ada juga yang solat atas tar yang sentiasa dipijak pelbagai manusia dan haiwan.

Kita pun sudah sangat hampir dengan musim hujan monsun. Jadi cadangan ini amat perlu dipertimbangkan untuk kepentingan serta keselesaan rakyat kita.

Kuala Terengganu Sejahtera

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI)
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
18 September 2020 – HARAKAHDAILY 18/9/2020

- Advertisement -