Perhebatkan kempen hak asasi Islam

SEPANJANG pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kita menyaksikan banyak isu-isu hak asasi yang dimainkan tanpa mengira sensitiviti umat Islam.

Isu-isu seperti pemansuhan hukuman mati, perkahwinan bawah umur, amalan khitan kanak-kanak perempuan, hukuman sebatan Syariah, dan isu-isu yang melibatkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) digambarkan sebagai suatu penindasan tanpa mengambil kira perspektif Islam dan Perlembagaan Persekutuan. 

Sedikit demi sedikit, isu-isu hak asasi ini telah mencairkan akidah umat Islam terutamanya anak-anak muda. Ramai anak muda yang bersolat dan bertudung, tidak melakukan perkara yang dilarang agama tetapi kemudiannya tidak segan silu menyokong dan membenarkan tindakan yang bersalahan dengan hukum syarak atas nama hak asasi. 

Advertisement

Oleh itu, saya ingin menyeru agar usaha memperkenal hak asasi Islam diperhebat dalam kalangan anak muda seterusnya mendedahkan mereka kepada isu-isu hak asasi di peringkat antarabangsa. Hal ini amat penting supaya generasi muda hari ini bersedia dalam mendepani gelombang Liberalisme. 

Umat Islam perlu celik isu-isu hak asasi, namun tidaklah sampai berkiblatkan pendekatan kontemporari yang dibawa oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 sehingga terkeluar daripada landasan syarak.

Sekian, terima kasih. 

“Islam Memimpin Perpaduan”

HAJI WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 18/9/2020