PAN anak PAS?

- Advertisement -

TERPERANJAT saya apabila menonton keratan video di ‘youtube’ bagi kempen PRN Sabah yang mendakwa PAN lahir daripada PAS. Saya percaya semua orang pastinya bersetuju bahawa bagi menjadi politikus di zaman ini, seseorang itu mestilah mempunyai maklumat yang bukan sahaja sebanyak mungkin, malahan juga mestilah tepat. Berada di zaman teknologi yang hebat ini, tiada ruang bagi mereka yang ketandusan maklumat untuk bergerak bersama kumpulan politik. Apa lagi ia adalah maklumat asas.

- Advertisement -


Rakyat semakin cerdik dan celik maklumat. Tidak sedikit kisah-kisah puluhan tahun yang lalu yang mungkin telah dilupakan orang, tiba-tiba muncul kembali dengan bantuan teknologi. Ia berjaya diselongkar, dicari orang. Berbanding dahulu, apa sahaja yang mahu dicari, mungkin kita terpaksa ke perpustakaan bagi mencari maklumat. Dan hampir semua maklumat itu dalam bentuk bacaan tradisional.

PAN bukan daripada PAS. Noktah. Tiada kena mengena mereka dengan PAS. Ya, sebahagian daripada mereka bekas ahli PAS. Tapi dari segi asas kepartian, ia jauh meleset. Sama seperti Gandhi di India. Mahathma Gandhi langsung tiada kena mengena dengan Indra Gandhi, Rajiv Gandhi mahupun Rahul Gandhi. Mereka hanya menumpang nama bagi mendapatkan kekuatan politik. Maka Gandhi yang pada sesetengah masyarakat India telah dianggap sebagai dewa, bisa menjadi tarikan pengundi Parti Kongres.

Penafian ini akan lebih difahami dengan kita membandingkan dasar perjuangan masing-masing. PAN mendakwa mereka adalah parti yang membawa Islam secara Rahmatan Lil Alamiin. Tetapi di manakah rahmat itu jika mereka gagal membendung orang bukan-Islam daripada menguasai pakatan mereka? Rasulullah dengan Rahmatan Lil Alamiin itu telah berjaya membawa orang bukan-Muslim kepada Islam. Tetapi PAN pula, ada pimpinan mereka yang cuba menjadi tuhan. Tuhan pun boleh dipermainkan, rahmat kah itu?

PAS pula membawa Islam secara syumul. Dalam PAS ada tiga elemen penting, iaitu dakwah, siasah dan tarbiyah. Bukti mudahnya, apabila PAS berdakwah kepada parti rakan mereka, semua, perempuan daripada parti rakan itu, jika Islam, minima, akan menutup kepalanya dan jika bukan-Islam, akan berpakaian sopan. Termasuklah dari DAP. Dan tidak pernah pula Muslimah PAS terpaksa berbikini bagi menarik undi daripada orang bukan-Islam. Teguh PAS mengajar orang dan orang menghormati PAS.

Dalam siasah, PAS boleh mengembangkan idea bagi mencapai maksud perpaduan Islam. Tetapi mestilah Islam akan mendapat faedah tertinggi. Ketika Umno menjadi kerajaan dahulu, PAS tidak menyertainya kerana dilihat Islam tidak akan untung. Sewaktu PH mabuk dengan kuasa mereka, PAS juga menolak untuk bergabung kerana melihat kerugian kepada Islam. Sehinggalah kini, Umno turut mengubah Perlembagaan mereka, meletakkan Islam di depan, selepas bermuafakat dengan PAS. Jelas, siasah PAS adalah untuk menjulang Islam.

Dalam tarbiyah pula, PAS saban tahun mengeluarkan ribuan pelajar daripada madrasah mereka yang usang, hasil daripada sumbangan orang ramai, dengan bantuan daripada guru-guru yang ikhlas mengajar walaupun gaji yang jauh daripada guru biasa. Daripada semua inilah, bermula daripada PASTI, DAR-DAR, sekolah menengah sehinggalah kepada kolej universiti, produk-produk PAS ini bertebaran ke seluruh bukan sahaja negara, malahan dunia bagi menyambung usaha memartabatkan Islam.

Cuba lihat PAN. Survival politik mereka ditentukan oleh DAP. Bukan saya yang kata, tapi mantan Naib Presiden mereka yang baru sahaja meletakkan jawatan. Prestasi menteri-menteri mereka dahulu dipersoalkan dengan begitu teruk oleh rakyat. Dakwah? Sehingga kini, tidak diketahui apa peranan ulamak-ulamak mereka. Lihat sahaja Presiden PAS mengutuk mengenai normalisasi hubungan UAE dengan Israel. Namun pimpinan PAN, hanya mampu mengutuk PAS dalam kempen PRN Sabah, demi satu kerusi. Sekolah PAN? Kerusi meja mereka pun berebut dengan budak-budak PASTI.

Saya percaya tidak perlu untuk membawa bandingan lain. Ia tiada guna. Cukuplah dengan satu perbandingan asas penubuhan parti PAN dan PAS. Asas itu dilaksanakan PAS dengan begitu sistematik sehingga berjaya mencapai tahap dunia. Ia hasil kerjasama dan kehendak semua ahli PAS bagi memartabatkan Islam dengan izin Allah. Apa pencapaian PAN? Saya percaya pencapaian tertinggi mereka ialah bergambar dengan Syeikh Yusof al-Qaradhawi, kemudian menjaja foto-foto itu.

Ketika mana PAS didakwa tidak diterima di Sabah, PAS membuka seluas-luasnya peluang bagi parti-parti rakannya untuk bertanding, dengan janji PAS bahawa mereka akan membantu jentera pilihan raya. Dan agak pelik kerana, kenapa mahu dikaitkan PAS yang tidak laku itu di Sabah itu dengan PAN, sedangkan ia mungkin boleh membawa kepada kekalahannya?

Adakah cubaan sabotaj untuk menjatuhkan PAN? Atau hanya mahu mencemarkan nama baik PAS dengan membuat dakwaan yang tidak masuk akal ini, mengaitkan dengan PAS? Apa pun, ia tetap sesuatu yang di luar kewarasan fikiran manusia apabila menggabungkan nama PAS dengan PAN bagi tujuan mengatakan bahawa kedua-duanya adalah daripada susur galur yang sama kerana PAN adalah butir tahi DAP, bukan anak PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH
18 September 2020 – HARAKAHDAILY 18/9/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -