MB jalani ujian saringan Covid-19

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan 55 individu lain telah menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Mengikut sumber yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, ini berikutan seorang individu yang disahkan positif Covid-19 didapati turut berada dalam satu program majlis serahan sumbangan kepada Pegawai Daerah Kota Setar di Wisma Darul Aman pada 14 September lalu.

Advertisement

Berikutan itu, dua exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Wan Romani Wan Salim berserta kakitangan Pejabat Menteri Besar dan beberapa orang pemimpin PAS Kedah, antara yang dikehendaki menjalani ujian saringan berkenaan.

Justeru itu Muhammad Sanusi dalam kenyataannya berkata, beliau bukan kontak rapat kepada individu terbabit tetapi bersedia menjalani ujian saringan berkenaan.

“Walaupun saya bukan kontak rapat individu yang disahkan positif Covid, namun saya bersedia untuk dibuat ujian saringan demi kebaikan semua pihak,” jelas beliau.

Pengakuan itu disahkan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Mohd Fikri Ujang yang turut mengatakan Menteri Besar tidak ada halangan untuk turun padang menjalankan essential services sebelum keputusan saringan yang dijangka diketahui pada 19 September ini.

“Definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak satu meter atau lebih dekat lagi dalam tempoh masa 15 minit atau lebih secara berterusan,” maklum Pengarah Kesihatan itu memberi penjelasan.

Situasi yang sama juga terhadap 55 individu lain yang menjalani ujian saringan hari ini kerana ujian itu sekadar community test atau surveillance test yang tidak menyebabkan mereka perlu dikenakan kuarantin atau dipakaikan gelang merah jambu. – HARAKAHDAILY 18/9/2020